ALOR SETAR: Polis selesai mengambil keterangan daripada pemandu lori tanah yang didakwa merempuh tiga kenderaan sehingga mengakibatkan dua beranak terkorban dalam nahas di Jalan Kolon, Pokok Sena, pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki berusia 48 tahun itu yang turut mengalami kecederaan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dan akan ditahan semula setelah kertas siasatan lengkap.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis telah lengkap mengambil keterangan pemandu terbabit namun tindakan susulan akan diambil setelah kertas siasatan lengkap.

“Saksi kejadian juga telah dipanggil dan keterangan juga direkodkan bagi membantu siasatan.

“Pemandu itu turut mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan dan berkemungkinan akan ditahan semula untuk dituduh di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dalam kejadian semalam, dua beranak termasuk wanita hamil lima bulan maut selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka dirempuh lori tanah di Jalan Kolon, Pokok Sena.

Nadzifah Abu Seman, 28, yang hamil anak sulung dan ibunya, Romadiah Ismail, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Kemalangan itu turut melibatkan dua kenderaan lain iaitu Perodua Axia dan Toyota Hilux.

Siasatan awal polis mendapati, lori tanah terbabit dipercayai datang dari arah Alor Setar menghala ke Pokok Sena, manakala tiga buah kenderaan lagi dari arah bertentangan.

Pemandu lori tanah itu dikatakan cuba mengelak sebuah motosikal yang melintas di hadapannya sebelum hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga kenderaan terbabit.

Sementara itu, suami Nadzifah, Ismail Mohamad, 28, berkata dia kesal dan terkilan kerana sehingga kini tiada permohonan maaf dibuat oleh pemandu lori berkenaan.

“Saya reda dengan pemergian isteri tersayang, namun saya berharap tindakan sewajarnya diambil terhadap pemandu lori itu yang cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya.